Published 4:29 PM by mobile262

KELANTAN MARA KE FINAL PIALA MALAYSIA


Seperti yang diramalkan penyandang juara, Kelantan akhirnya memastikan slot final Piala Malaysia menjadi milik mereka selepas mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan timbal-balik di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam ini.

Keputusan seri 2-2 yang dicatatkan cukup buat Kelantan  beraksi di pentas akhir pada 3 Nov ini di Stadium Shah Alam. Menanti KELANTAN samaada PAHANG atau SERAWAK. Pasukan pantai timur itu yang terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' sebelum ini mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas ATM pada separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lepas. 

Pada perlawanan malam tadi penyerang import ATM, Marlon Alex James cukup membuat penyokong Kelantan tertekan dengan membuka tirai jaringan pada minit ke-18 dan minit 35,  beliau ternyata bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol pasukan Kelantan. 

Walaubagaimanapun, Kelantan mengatur semula jentera serangan dan berjaya merapatkan jurang pada minit ke-82 apabila Ahmad Fakri Saarani melepaskan rembatan kencang, sekaligus menewaskan penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun.

Kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi menjadi wira pasukan kendalian Bojan Hodak selepas menyempurnakan hantaran lintang daripada pemain gantian, Zairol Fitree Ishak pada minit ke-85 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.